Sunday, January 1, 2012

Bendera Sekolah


Kuning: Warna diRaja yang melambangkan 'Kedaulatan'
Putih: Melambangkan 'Kesucian'
Biru: Melambangkan 'Perpaduan'

Lencana Sekolah


5 bucu bintang emas bercahaya: 5 Rukun Negara
Buku dikelilingi manik perak: Kitab suci bagi setiap agama; Islam - al-Quran, Dharmapada - Buddha, Hindu - Bhagavadgita, Kristian - Bible
Warna merah dengan lingkaran emas dan perak: Menyampaikan ajaran kasih sayang kepada Tuhan
Kayu rahat/spindal: Simbol kerja keras dan semangat yang tinggi
Kalungan bunga Margarita: Sumber kesucian kepada Tuhan, kejiranan dan diri sendiri

Sejarah dan Perkembangan Sekolah

 Pintu masuk ke SRK St. Nicholas Convent di Jalan Istana Lama

Sekolah Kebangsaan St. Nicholas Convent (SKSNC), Alor Setar dibuka pada 6 Februari 1934 dengan empat orang guru iaitu Mrs. Bentley (penyelia), Mary Augustine, Freda Foong dan Madeline Choong. Manakala murid seramai 58 orang lelaki dan perempuan. Semasa Perang Dunia Kedua, SKSNC ditutup kerana pihak Jepun telah menukarkan hampir kesemua sekolah Inggeris di Kedah menjadi sekolah berbahasa pengantar Jepun.

Apabila tamatnya Perang Dunia Kedua, sekolah ini berpindah ke tapak baru iaitu di No. 6, Kg. Perak, Alor Setar (tapak kediaman Y.T.M. Tunku Habsah). Bilangan pelajar pada masa ini telah meningkat kepada 260 orang dengan bilangan gurunya seramai 17 orang. Bermula 4 Disember 1946, murid lelaki terpaksa dikeluarkan kerana kekurangan tempat penginapan.

Tahun 1949 merupakan detik penting di mana lokasi sekolah dipindahkan pula ke tapak baru yang terletak di Jalan Istana Lama, Alor Setar yang mempunyai satu blok dan dibuka secara rasminya pada tanggal 7 April dengan enam bilik darjah yang menampung seramai 416 orang murid. Blok kedua telah siap dibina tiga tahun berikutnya. Pada tahun 1958, SKSNC telah menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan.

17 Jun 2011 adalah tarikh bersejarah lantaran sekolah ini telah berpindah ke lokasi baru yang kekal sehingga ke hari ini terletak di Jalan Datuk Kumbar yang menempatkan 27 buah kelas dengan bilangan murid seramai 941 orang beserta 49 orang guru beroperasi pada sesi pagi sahaja.

Pada mulanya sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Perempuan Alor Setar, tetapi akhirnya telah diubah dan dikekalkan dengan nama SEKOLAH KEBANGSAAN CONVENT apabila digugurkan perkataan ‘St. Nicholas’. Walaupun telah berpindah ke bangunan baru serta agak jauh dari lokasi asal (di tengah-tengah bandar raya Alor Setar) dan sekarang lokasinya terletak di pinggir bandar namun semangat, sejarah dan tradisinya yang diwarisi adalah tetap sama. Ianya telah mencetuskan semangat dan iltizam warga sekolah untuk meningkatkan lagi nama dan prestasi sekolah di persada negeri dan kebangsaan.

Sunday, August 2, 2009

Kejayaan Sekolah

















KEISTIMEWAAN / KEKUATAN / WATAK / IMEJ / IDENTITI SEKOLAH

KEISTIMEWAAN / KEKUATAN / WATAK / IMEJ / IDENTITI SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Convent, Alor Star memang bertuah kerana mewarisi beberapa kekuatan atau watak Sekolah Kebangsaan St. Nicholas Convent.

Pihak pengurusan sekolah ini memang sungguh prihatin, rajin, tekun, berdisiplin, positif serta sentiasa berusaha mengadakan pelbagai perancangan dan inovasi dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu pengurusan serta kecemerlangan sekolah ke arah hasil berkualiti. Konsep ‘Kaizen’ dan ‘Reengineering’ sentiasa diamalkan untuk kemajuan dan kecemerlangan.

Umumnya guru-guru sekolah Convent ini memang terkenal dengan sifat-sifat rajin, berdedikasi, tekun, azam, berilmu, berketerampilan, positif, bertanggungjawab dan sangat berkesan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran. Hasil sifat-sifat di atas, pencapaian kurikulum dan kokurikulum sekolah ini adalah yang terbaik di Kota Star dan antara yang terbaik di Negeri Kedah Darul Aman.

Ketrampilan sekolah ini dapat dilihat dengan adanya :-
i. 7 orang Jurulatih Utama (JU) peringkat negeri
a. 2 orang untuk Bahasa Inggeris
b. Seorang untuk Transisi
c. Seorang untuk Pendidikan Moral
d. Seorang untuk Pendidikan Muzik
e. Seorang untuk Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan
f. Seorang untuk KIA 2M


ii. Pemeriksa Kertas UPSR – 6 orang
iii. Guru Cemerlang Bahasa Melayu – seorang
iv. Penggubal soalan untuk daerah dan negeri – 3 orang
v. Sijil Jurulatih Gimrama – 2 orang
vi. Sijil Kejuruhakiman Gimrama – seorang
vii. Guru Projek Rintis Sekolah Bestari – seorang
viii. AJK Pemantauan Batasan dan Cadangan Format Pentaksiran Bahasa Melayu Peringkat UPSR (Kebangsaan) – seorang.

Di samping itu, Guru Besar sendiri dan semua Penolong Kanan mengajar mata pelajaran teras iaitu :-

Guru Besar - Sains Tahun 6
Penolong Kanan Pentadbiran - Bahasa Melayu Tahun 5
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid - Matematik Tahun 3
Penolong Kanan Kokurikulum - Sains Tahun 6

Guru Besar dan guru-guru Penolong Kanan juga terlibat sama dalam aktiviti kelas tambahan, pada waktu petang dan hari cuti serta kelas-kelas pemulihan dan pengukuhan di sebelah pagi sebelum sekolah bermula.

Guru Besar juga menganggotai beberapa Jawatankuasa peringkat daerah dan negeri di samping dijemput memberi ceramah, antaranya :-

i. AJK Pemantauan Kualiti Peringkat Negeri
ii. AJK ‘Think Tank’ Perhimpunan Patriotik pemimpin Pelajar Peringkat Kebangsaan
iii. Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Pembinaan Peringkat PKG
iv. Pengerusi Panitia Bahasa Inggeris Peringkat PKG
.
v. Penceramah Jemputan untuk Kursus Penolong Kanan dan Guru Besar anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Kedah Darul Aman.
vi. Penceramah Jemputan Institut Aminuddin Baki, Cawangan utara bagi Kursus Asas Pengurusan Sekolah untuk Guru-guru Besar Peringkat Kebangsaan.
vii. Kaji selidik oleh Pensyarah dari Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
viii. Jawatankuasa program TOT peringkat kebangsaan.

Moto dan lagu sekolah ini antaranya menggalakkan murid-mruidnya agar rajin belajar untuk berjaya, berkelakuan baik dan jauhi daripada berkelakuan tidak baik, percaya kepada Tuhan dan tidak mudah putus asa. Di samping murid-murid perempuan yang senang dibentuk, perancangan serta pelaksanaan peraturan sekolah telah menyebabkan murid-murid sekolah ini mempunyai tahap disiplin yang sangat tinggi.

Program semakan buku memang telah lama wujud di sekolah ini. Walau bagaimanapun program ini sentiasa disemak, dimurnikan serta diperbaiki. Program ini, didapati sangat berkesan lantaran memberi impak yang sangat kuat ke atas peningkatan prestasi murid-murid serta prestasi akademik dalam UPSR.
.
Akibat corak pentadbiran mantap sekolah ini menjana kecemerlangan, komitmen guru yang sangat tinggi, pencapaian akademik dan kokurikulum yang sangat tinggi lagi memberangsangkan, tahap disiplin yang tinggi serta tahap penggunaan Bahasa Inggeris yang memberangsangkan di kalangan guru dan murid telah menyebabkan sekolah ini menjadi pilihan dan rebutan ramai waris sejak dahulu lagi. Murid-murid sekolah ini bukan sahaja dari sekitar kawasan Kota Setar malah ada yang datang dari Bandar Jitra (lebih kurang 20 km dari Alor Star)

Kecemerlangan dan keunggulan sekolah ini dalam bidang Kurikulum, Kokurikulum serta Hal Ehwal Murid telah menarik minat 239 orang waris (26.38%) bukan Melayu berebut memilih sekolah ini untuk anak-anak mereka. Bilangan murid-murid bukan Melayu di sekolah ini adalah yang tertinggi di kalangan Sekolah Kebangsaan di Kota Setar dan antara beberapa buah sekolah di negeri Kedah. Keadaan ini adalah unik bagi sebuah Sekolah Kebangsaan.

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, salah satu dasar pendidikan negara adalah untuk memupuk perpaduan serta integrasi nasional. Dalam hubungan ini, sekolah telah melibatkan murid-murid dari semua bangsa dalam semua aktiviti peringkat sekolah, daerah dan negeri. Sebagai contoh, pengawas terdiri daripada murid-murid berbagai kaum. Begitulah juga dalam aktiviti Kokurikulum seperti permainan, pendidikan lalulintas, kebudayaan, pasukan beruniform semuanya disertai murid-murid berbagai kaum. Dalam banyak upacara luar sekolah, terutama oleh PPD, JPN dan lain-lain pertubuhan termasuk Wisma Negeri selalu memilih murid-murid sekolah ini membuat persembahan kebudayaan kerana keunikannya menunjukkan integrasi kaum.

Usaha menaman sifat-sifat toleransi dan bekerjasama antara kaum dan agama telah membentuk satu landasan ke arah perpaduan dan integrasi nasional.

Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah kebangsaan di negeri Kedah di mana KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman, DYTM Raja Muda Kedah Darul Aman dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman serta YTM Dato’ Seri Tunku Putri Intan Shafinaz berangkat bercemar duli pada hari Anugerah Cemerlang tiap-tiap tahun. Kehadiran KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman, DYTM Raja Muda Kedah Darul Aman dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman serta YTM Dato’ Seri Tunku Putri Intan Shafinaz telah menyebabkan ramai waris memilih sekolah ini untuk anak-anak mereka lantaran wujudnya persaingan untuk menerima hadiah daripada KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman.

Hasil komitmen tinggi warga sekolah dan permuafakatan antara sekolah, waris, masyarakat setempat dan PIBG, sekolah ini sentiasa cemerlang dan menepati ‘benchmark’ atau tanda aras yang ditetapkan. Pencapaian matlamat saban tahun telah memberi rasa kepuasa bekerja, sentiasa bermotivasi dan ‘self-esteem’ yang tinggi bukan sahaja di kalangan warga sekolah, malah juga di kalangan para waris dan murid. Suasana positif dan rasa kepuasan dan kebanggaan terhadap pencapaian sekolah sentiasa dikekalkan dan merupakan teras kepada kecemerlangan sekolah.